Wednesday, July 25, 2007

RASUAH - BARAH NEGARA YANG KIAN PARAH

Rasuah adalah penyakit atau kanser sosial yang semakin merebak, menular dan menjadi barah dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Sebagai virus berbahaya ianya telah menyusup ke mana sahaja dan menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

Menurut Dr. Mohammad Bin Abdul Rahman (2007), rasuah berlaku secara global dalam semua komuniti dan pelbagai arena kehidupan masyarakat. Hinggakan di Asia, amalan rasuah ini adalah dianggap sebagai lumrah dan tradisi kehidupan.

TAKRIFAN DAN PENGERTIAN

Takrifan Y.Ponnusamy dan Wong Khek Seng (2000), ‘suapan’ atau lebih dikenali sebagai ‘Rasuah’ boleh diertikan sebagai sebarang perbuatan yang dilakukan oleh mana-mana anggota masyarakat yang berpangkat atau tidak dan menggunakan kedudukan atau jawatannya untuk memperolehi faedah kewangan atau sebarang keuntungan lain yang tidak sah dari segi undang-undang dan peraturan negara.

Menurut Mohd Ali Abd. Hamid (2007), rasuah berasal dari perkataan Bahasa Arab iaitu“Al-Risywah” bermaksud memberi kepada seseorang.

Tambah Mohd Ali Abd. Hamid lagi, ‘Rasuah’ atau ‘Suapan’ dan 'Hadiah' terdapat batasannya. Beliau dalam ceramahnya, membezakan rasuah dan hadiah dengan dengan ungkapan berikut
“.....Hadiah sebagai rasuah jika diminta atau diterima dengan niat jenayah(mens
rea)”.
Ditegaskan juga bahawa “Apabila tujuan pemberian hadiah mengwujudkan pengharapan balasan daripada orang yang menerima hadiah, tindakan tersebut dikategorikan sebagai rasuah”.

Ini disokong oleh pendapat dan takrifan Dr. Mohammad Bin Abdul Rahman (2007), apabila mendefinisikan rasuah dari pandangan institusi iaitu “ Apabila pemberi sogok seseorang berjawatan dengan pemberian yang terlarang oleh undang-undang. Dalam mana ianya bertujuan mempengaruhi tindakan penerima untuk keuntungan peribadi di antara mereka”.

Dari perbincangan di atas, secara umumnya setiap pemberi rasuah atau suapan sama ada di sektor awam mahupun swasta adalah di atas keuntungan peribadi dan individu itu sendiri. Gelaran demi gelaran telah dilabelkan kepada rasuah termasuklah sebagai virus, duit kopi, jolok dan tangkal pengeras, namun rasuah tetap rasuah. Dan bahawasanya ia sungguh menjijikkan.

Dalam mengenali atmosfera 'Suapan', Y.Bhg Dato' Hj. Zakaria B. Hj. Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah II Badan Pencegah Rasuah Malaysia (2007), dalam ceramahnya mendefinisikan 'Suapan' atau 'Rasuah' sebagai:-
  1. Wang, derma, barang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta iaitu mengenai apa-apa jua jenis harta, sama ada alih atau tidak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;
  2. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa pun jua sifatnya.
  3. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa jua sifat;
  4. Apa-apa jua bayaran, pelepasan penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain sama ada secara keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
  5. Apa-apa jenis balasan beharga, apa-apa diskaun, komisyen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;
  6. Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
  7. Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatirii atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tata-tertib, sivil dan jenayah, termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajiban rasmi; dan
  8. Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberi suapan mengikut pengertian mana-mana peranggan (1) hingga (6) yang di atas.
CIRI-CIRI RASUAH

Melihat atmosfera di atas, diringkaskan bahawa ciri-ciri rasuah adalah:-
  1. Melibatkan dua pihak atau lebih - iaitu pemberi, penerima atau pengantara;
  2. Suka sama suka;
  3. Membawa keuntungan;
  4. Dipenuhi dengan kerahsiaan; dan,
  5. Melibatkan penyalahgunaan kuasa.
KESALAHAN RASUAH

Meminta/Menerima Rasuah
  • Mana-mana orang atau agen secara rasuah meminta/menerima/bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi atau urusniaga tertentu sama ada berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.
Menawar/Memberi Rasuah
  • Mana-mana orang atau agen secara rasuah meminta/menerima/bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi atau urusniaga tertentu sama ada berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.
Membuat Tuntutan Palsu
  • Mana-mana orang memberi kepada agen atau agen memberi kepada prinsipal/majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir-butir palsu, yang mana prinsipal/majikannya mempunyai kepentingan dengan tujuan untuk mengelirukan/memperdayakan prinsipal/majikannya.
Menyalah Guna Jawatan/Kedudukan
  • Mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung.
RASUAH DARI SUDUT PERUNDANGAN

Perundangan Malaysia melihat Rasuah dari sudut:-
  1. Individu atau Kumpulan yang melanggar undang-undang yang telah dikuatkuasakan;
  2. Penyalahgunaan apa jua harta benda negara;
  3. Kegiatan yang merugikan negara; dan,
  4. Usaha pihak tertentu (individu ataupun kumpulan), dalam memperkayakan diri sendiri dan kaum kerabat.
KEKUATAN DAN PERUNTUKAN PERUNDANGAN DALAM MENANGANI RASUAH

Dalam menangani gejala rasuah, negara telah menyediakan serta menggariskan panduan sebagai rujukan dalam menangani barah yang kian menjadi parah kepada masyarakat negara ini. Niat murni kerajaan dilihat dengan peruntukan:-
  1. Akta Pencegahan Rasuah 1997.
  2. Ordinan No. 22 Darurat, 1970 berkaitan dengan rasuah.
  3. Akta Kastam 1967 (disemak 1980) berkaitan rasuah (167).
  4. Kanun Keseksaan (Akta 574)
  5. Akta Keselamatan Pilahan Raya berkaitan rasuah.
  6. Akta Pengubahan Wang Haram 2001, berkaitan rasuah.
PUNCA-PUNCA RASUAH

Umum mengetahui bahawa barah rasuah dan suapan mudah menular dalam kehidupan manusia dalam pelbagai cara. Walau bagaimanapun, punca segala amalan rasuah dan suapan adalah disebabkan oleh tiga faktor utama berikut:-

Penyalahgunaan Kuasa
  • Setiap penjawat awam, telah diperturunkan kuasa dalam menunaikan amanah tertentu. Walau bagaimanapun, melalui jawatan, amanah yang diperturunkan atau kedudukan, ianya sering disalah gunaertikan untuk mendapat suapan dalam membuat keputusan bagi diri sendiri, saudara-mara, rakan taulan, mahupun sekutu yang berkepentingan.
Kelemahan Kawalan
  • Diri Sendiri
  1. Kekuatan nafsu yang tidak dibendung dilihat mampu mencernakan kegiatan terkutuk ini. Dari faktor nafsu yang tidak dikawal individu mampu menggadaikan maruah diri, keluarga dan masyarakat dan seterusnya menuju kepada kehancuran.
  2. Di samping itu, kehidupan yang suka kepada kehidupan yang mewah dan tamak juga memangkinkan rasuah itu sendiri. Sikap ingin menunjuk-nunjuk juga menguatkan gejala ini. Akibatnya, individu sanggup menerima apa saja dalam mencapai kemewahan yang diinginkan.
  3. Sikap tidak ingin ketinggalan dan berlumba-lumba menjadi kaya dan mencari kekayaan juga menjadi faktor utama ke arah penyumbangan rasuah. Individu mahu kelihatan berada di kasta tertinggi bersama-sama dengan golongan yang sememangnya kaya.
  4. Ada individu yang suka berpoya-poya, berjudi dan berhutang. Kebanyakannya kaki judi yang akhirnya berhutang akan hanyut bersama arus rasuah. Apa tidaknya, dengan berjudi dan berhutang individu terpaksa dan sanggup menjual maruah diri. Sanggup menyalahkan kuasa demi masa depannya, yang tanpa disedari akan menghilangkan maruahnya.
  5. Hari ini, golongan individu yang memegang tampok sesebuah jabatan dan organisasi dilihat kurang mahir dalam pelbagai prosedur yang telah diwujudkan. Kekurangan ini juga mampu merosakkan individu untuk terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan rasuah. Di sinilah wujudnya, faktor kelalaian dan kealfaan individu dalam menjalankan tugasnya sebagai penjawat disesebuah organisasi.
  6. Dan, akhir sekali faktor individu menerima rasuah juga dilihat berpunca dari keimanan dan nilai-nilai murni yang tipis pada diri yang telah diberi kuasa (sama ada penerima ataupun pemberi).
  • Organisasi
Organisasi penuh dengan birokrasi. Dari birokrasi wujudnya pelbagai kelemahan yang tidak boleh tidak memangkinkan rasuah sebagai agenda virus merosakkan bangsa dan negara. Menyebut kelemahan, kawalan merupakan satu perkara pokok yang perlu ditangani sebagai pra-langkah menangani rasuah. Hari ini kelemahan kawalan dari sudut organisasi ialah:-
  1. Penurunan kuasa yang diperturunkan dan diamanahkan tanpa kawalan serta pertimbangan dan budi bicara tidak wajar dalam penurunan tersebut. Penurunan tanpa had dan juridiksi yang khusus serta justifikasi menyebabkan tanpa sedar penyelewengan kuasa terbina. Di sinilah pentingnya kawal selia kuasa yang diperturunkan oleh golongan yang dikenali sebagai sipemberi kuasa (seperti Ketua Jabatan).
  2. Ramai orang menganggap, bila soalan kuiri diajukan oleh seseorang kakitangan yang menjalankan amanah sebagai tidak efisyen. Tidak pro-aktif, menentang arus dan banyak lagi. Namun, golongan pengkritik ini, seolah-olah pra matang dalam membuat judgemintasinya sendiri. Disinilah penunai amanah membuktikan ketelusan. Pengkuiri akan melihat sejauh mana si kena kuiri telus dalam menjalankan amanah mengikut polisi, peraturan, perundangan mahupun prosedur sesebuah organisasi. Tanpa ketelusan maka wujudlah barah rasuah yang sebenarnya menghancurkan pengamal itu sendiri.
  3. Hari ini wujudlah pergerakan pemantauan yang dinanti-nantikan oleh semua golongan tertindas akibat penyalahgunaan kuasa. Kalau dahulu kekurangan pemantauan menjadi faktor rasuah, namun kini pemantauan yang agak lemah dan berkurangan juga menjadi faktor rasuah oleh golongan penjenayah terancang ini. Perlu diingatkan, pengamal bukannya dari golongan kampung yang dulu dikuasi oleh Pak Pandir dan Pak Kadok sahaja. Namun, mereka terdiri dari individu yang bergelaran yang mampu menjual nama Pak Kadok mahupun Pak Pandir.
  4. Kelemahan pemimpin juga di lihat sebagai faktor puncanya rasuah. Pemimpin di sini tidak melihat pada ruang lingkup negara, tetapi juga ruang lingkup mikro yang jelas terkapai-kapai mencari arah. Cuba kita lihat, dari pandangan makro, golongan atasan dan tertinggi akan mengarahkan sesuatu tugasan sama ada ia mengikut prosedur ataupun tidak. Apakah gunanya golongan tertentu yang sepatutnya menasihatkan cara terbaik perlaksanaan tersebut. Contohnya, pengarah, akauntan, penolong akauntan dan penolong pengarah.
  5. Akhir sekali faktor kelemahan penguatkuasaan undang-undang rausah itu sendiri. Tidak terlalu kritikal sekiranya, penegak undang-undang juga seolah-olah cari makan untuk menangani isu rasuah yang ada.
Kewujudan Peluang
  • Dalam hidup yang semakin moden, di bawah arus modenisasi kepesatan pembangunan sosioekonomi dikategorikan terlalu mencabar. Dari tekanan kehidupan, dilihat kepesatan pembangunan dan modenisasi ini mewujudkan peluang kepada bercambahnya nafsu serakah individu dan berkmpulan untuk melakukan rasuah. Antaranya, ingin mendapatkan kemewahan dalam jangka yang singkat demi untuk diri dan keluarga.
  • Budaya dan tradisi hari ini juga menjadi faktor pemangkin kepada gejala rasuah ini. Dari sudut budaya dan tradisi, dilihat penghalalan cara memangkin rasuah yang secara halusnya meresap ke jiwa individu dan kumpulan. Contohnya, pemberian hadiah harijadi, perkahwinan, keraian dan banyak lagi. Kekuatan faktor ini lebih kepada pemberi dengan 'nawaitu' supaya penerima mengingat jasa dan pemberian.
  • Di samping itu, kewujudan peluang rasuah juga berpunca dari kelemahan sistem, prosedur dan kepimpinan sesebuah organisasi itu sendiri. Rasuah sukar dikesan bila pelaku (penerima/pemberi) merancang sesuatu bentuk kegiatan penyalahgunaan undang-undang dan peraturan. Sesebuah organisasi tidak mempunyai satu sistem 'alert' yang mampu menggera pihak berkuasa dalam penyalahgunaan yang telah dilakukan. Kepimpinan yang lemah juga dilihat sebagai peluang keemasan yang ada dalam menjayakan rasuah.
MASALAH MENANGANI JENAYAH RASUAH

Semua golongan bencikan rasuah, termasuklah sebenarnya pengamal yang telah, akan dan kini baru terjebak dengan budaya rasuah itu sendiri. Walau bagaimanapun, menangani rasuah bukanlah mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi sekiranya telah terjebak dengan jenayahnya. Itulah jenayah yang bernama rasuah.

Masalah utama dalam menangani jenayah rasuah ialah:-
  • Rasuah Dianggap Pelanggaran Etika Sosial Sahaja
  • Fahaman Materialistik Yang Semakin Menebal
  • Pegangan Agama dan Penghayatan Nilai Yang Longgar
  • Penguasaan Undang-undang yang Terbatas
  • Ikatan Sosial yang Rapuh

SIMPTOM-SIMPTOM RASUAH

Awalnya setiap penyakit boleh dilihat dengan petanda-petanda dan simptom tertentu. Begitulah juga rasuah, yang boleh dikenali dengan simptom-simptom berikut:-
  • Individu yang sukakan gaya hidup mewah
  • Individu yang gagal menjelaskan punca perolehan
  • Hubungan yang sangat akrab dengan pelanggan
  • Suka berahsia mengenai segala tindakan
  • Kerap berurusan di luar tanpa sebab yang munasabah
  • Penglibatan yang luar biasa dengan unit-unit lain yang tidak berkaitan dengan bidang tugas.
  • Pembekal / kontraktor enggan berurusan dengan pegawai lain selain dari seseorang individu khusus.
  • Suka bekerja secara berseorangan
KESAN-KESAN RASUAH

Seperti biasa setiap penyakit membawa kesan dalam pelbagai kehidupan individu. Begitulah juga rasuah, yang jelas membawa kesan kepada pelbagai sektor kehidupan sama ada individu mahupun masyarakat. Antaranya ialah:-
  • Menyebabkan Tambahan Kos Tidak Produktif
  • Mengadaikan Nyawa dan Secara Tidak Langsung Menggugat Keselamatan Negara
  • Melindungi Penjenayah Negara
  • Memusnahkan Budaya Kerja dan Nilai-Nilai Etika Kerja
  • Menjejaskan Maruah dan Imej Negara
  • Menjual Maruah Diri, Keluarga dan Negara
  • Menjadi Faktor Kepincangan Ekonomi Negara (Pengaliran Keluar Modal Negara).

KESIMPULAN

Kesimpulannya, rasuah dan suapan merupakan barah yang kronik dalam diri manusia hasil dari virus kehidupan peribadi. Meskipun tiada definasi khusus tentang rasuah, umum bersetuju bahawa ia adalah satu amalan menjijikan dan mampu memunah-ranahkan masyarakat. Penyelesaian gejala ini haruslah bermula dari individu itu sendiri.

No comments: