Friday, July 13, 2007

KONTRAK SOSIAL & JOS SOLI

Faiza Zainudin dan Mohd Anwar Patho Rohman, di dalam Akhbar Berita Harian bertarikh 9 Jul 2007 menulis :-

".............. Timbalan Perdana Menteri, berkata, Dr Koh harus sedar dan melaksanakan tanggungjawab itu kerana ia adalah kontrak sosial yang diterima Umno ..................."

Sebenarnya, bukan hanya Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sahaja yang perlu sedar tentang erti Kontrak Sosial yang dinyatakan oleh YB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Rajak. Tetapi seluruh rakyat Malaysia di mana jua mereka berada.

Apa tidaknya, dengan Kontrak Sosial inilah rakyat Malaysia mampu mencapai erti kemerdekaan. Dengan Kontrak Sosial anak cucu cicit kita mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dan asing di dunia.

Persoalannya....... ialah "Apa itu Kontrak Sosial yang hari ini diterima pakai oleh rakyat Malaysia?"

Kontrak Sosial
dan Prinsip Jus Soli tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan warga Malaysia hari ini. Dari kontrak dan prinsip inilah kemerdekaan dapat dipertahankan.

Mengimbau kembali tarikh 28hb Jun 2007, Ulu Kenas, Kuala Kangsar Perak. Disinilah saya mengenali dan mengetahui bahawa bangsaku yang merdeka tidak mengenal erti kemerdekaan. Tidak mengenal erti perpaduan sebenar. Mungkin penjelasanku membantu fasi mampu memperjelaskan erti kemerdekaan buat bangsaku yang kian lupa (Kerana 'Melayu Mudah Lupa')

Kontrak Sosial keagungan negara ialah :-

" Penerimaan Kerakyatan bukan Melayu atau bukan Pribumi di negara ini, berasaskan kelahiran (semasa penubuhan Malaysia dan Kemerdekaan) oleh bangsa Melayu dan Pribumi Malaysia, dengan syarat
bukan Melayu atau bukan Pribumi menerima secara terbuka Hak-hak Istimewa Orang-Orang Melayu, keistimewaan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi, dan Islam sebagai Agama Rasmi Negara."

Tidak ada gunanya, pelbagai pihak membangkitkan isu sensitif yang memperbodohkan bangsa. Tidak ada gunanya kita, melaungkan kemerdekaan sekiranya, merdeka tiada ditempatnya. Buat bangsaku yang berdaulat, jagalah erti kontrak sosial negara. Tatanglah ia supaya Bapa Kemerdekaan tidak menangis meratapi bangsa, supaya Bapa Pembangunan senyum, supaya Bapa Perpaduan gembira dan supaya Bapa Permodenan bangga sentiasa. Tanpanya, siapa anda di negara ini, tanpanya apa erti kemerdekaan ini. Tanpanya, kita tidak mampu memandu serta memacu Merz, Ferrari, Proton dan Produa.

Sedarlah, bahawa perpaduan dan pertimbangan bangsa merdeka berlandaskan kontrak sosial negara. Buat yang mempertikaikannya, sedarlah bahawa tanpa perjanjian ini anda sudah tiada di sini, entah menjadi abdi di negara Eropah atau Afrika sana.

Wassalam buat Bangsa Merdeka. Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-50. Perjuangan Belum Selesai Bangsaku, Jangan Kita Mudah Lupa.

No comments: