Monday, April 20, 2009

PERATURAN DALAM MENGELUARKAN RESIT KERAJAAN

Soal Jawab Peperiksaan Kerajaan

Semua wang hasil yang diterima oleh sesebuah Jabatan Kerajaan sama ada dalam bentuk wang tunai, cek, kiriman pso dan lain-lain hendaklah dikeluarkan RESIT RASMI bagi mengaku-terima wang yang diterima. Daftar dan senarai punggutan mestilah dibukukan oleh anggota yang lain daripada 'cashier'.

  1. Terangkan PERATURAN-PERATURAN BIASA DALAM MENGELUARKAN RESIT.
  2. Nyatakan KEADAAN DI MANA PENYEDIAAN RESIT BOLEH DILAKUKAN OLEH SEORANG ANGGOTA SAHAJA.

---------OoO-------------

Peraturan-peraturan biasa dalam mengeluarkan resit rasmi adalah :-

  1. Resit mesti dikeluarkan sebagai akaun terimaan wang pada masa urusan transaksi dibuat. (AP60).
  2. Orang awam / orang ramai perlu dinyatakan untuk meminta resit setelah transaksi dilakukan. (AP61)
  3. Meminda resit adalah dilarang sama sekali. Sebarang kerosakan atau kesilapan hendaklah dibatalkan dan disimpan untuk kegunaan pelaporan audit. Kesemua resit asal yang berkaitan dengan pembatalan hendaklah disimpan untuk tujuan verifikasi audit. (AP62)
  4. Resit hendaklah ditulis secara berhati-hati dan menggunakan karbon dua belah muka. (AP63)
  5. Resit hendaklah disimpan dengan selamat dan digunakan sepenuhnya. (AP65).
  6. Apabila berlaku pertukaran pegawai pemungut, dokumen hendaklah disemak oleh kedua-dua belah pihak (Pemungut lama dan Pemungut Baru). Penyerahan dokumen hendaklah diakuterima lengkap dan satu perakuan berkaitan perkara ini hendaklah dilakukan bagi dokumen resit yang diserahkan. (AP66A)
  7. Pemungut hendaklah menyelenggarakan Daftar Borang Hasil (Kew.67). (AP67).
  8. Resit yang belum digunakan hendaklah disimpan dengan selamat (AP68).
  9. Resit mesti ditandatangani oleh pegawai yang diberikuasa dan dibenarkan secara bertulis oleh Ketua Pengawal sahaja. (AP69)
  10. Sekurang-kurang 2 pegawai berbeza dalam pengeluaran resit rasmi kerajaan, iaitu seorang penyedia (penulis resit) dan seorang penandatangan resit (AP70 (a)).

KEADAAN DI MANA PENYEDIAAN RESIT BOLEH DILAKUKAN OLEH SEORANG ANGGOTA SAHAJA adalah seperti digariskan di dalam AP70(a) iaitu

  1. Pejabat Pemungut menggunakan Sistem Resit Elektronik yang telah mendapat kelulusan Jabatan Akauntan Negara dan Pejabat Kewangan Negeri.
  2. Bayaran Tetap yang tercetak pada Resit-resit Rasmi, Lesen dan Tiket.
  3. Pungutan luar secara seorang diri dan mestilah dikawalselia oleh Penyelia atau Pegawai Atasan.
  4. Di dalam keadaan di mana tiada pegawai lain ketika transaksi tersebut diterima, namun mestilah mendapat kebenaran daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Kesimpulannya, AP60 hingga AP70 menggariskan panduan dan tatacara Pengeluaran Resit Rasmi Kerajaan yang mesti dipatuhi oleh Pemungut. Kekecualian juga diperjelaskan pada AP70(a), bagi memudahkan transaksi kerajaan.

KITARAN PENYEDIAAN BAJET NEGARA MALAYSIA

Soal Jawab Peperiksaan Kerajaan

Salah satu daripada proses belanjawan ialah PROSES PENYEDIAAN BAJET. Huraikan secara terperinci KITARAN PENYEDIAAN BAJET bermula dari PROSES PENYEDIAAN ANGGARAN OLEH AGENSI sehingga WARAN PERUNTUKAN DIKELUARKAN.

Belanjawan adalah "Satu Penyata Anggaran Hasil dan Perbelanjaan bagi Tahun Hadapan yang digunakan sebagai Alat Perancangan dan Pengurusan Sumber Ekonomi Negara untuk memenuhi Keperluan Rakyat".

Dengan andaian penyediaan Bajet Tahun 2011 bagi Agensi, secara terperincinya, kitaran ini dijelaskan seperti berikut:-

  1. Pada bulan Disember 2009 (Penghujung setiap tahun), Kementerian Kewangan (MOF) akan mengeluarkan Garis Panduan Penyediaan Bajet kepada semua agensi-agensi.
  2. Pada masa yang sama Agensi akan membuat dan menyediakan Cadangan Bajet untuk dihantar ke pihak MOF selewat-lewatnya bulan Feb 2010.
  3. Setelah diterima pada bulan Feb 2010 (Cadangan Bajet oleh Agensi), Cadangan tersebut akan diserahkan kepada BRO untuk kajian dan analisis bagi pihak MOF. Pada tempoh ini, maklumbalas dari kedua-dua belah pihak iaitu Agensi dan BRO akan diterima dalam mengisi Cadangan Bajet dicadangkan sehinggalah ianya lengkap untuk kegunaan MOF.
  4. Bagi memastikan Bajet mencapai matlamat Negara, pemeriksaan awal akan dilakukan pada bulan Mac 2010.
  5. Setelah itu, pada bulan April sehingga Jun 2010, setelah Cadangan Lengkap dihantar oleh pihak Agensi, pemeriksaan dan perundingan akan dilakukan bagi Bajet sebelum ianya diluluskan oleh Kabinet nanti pada bulan Julai 2010.
  6. Setelah kelulusan oleh Kabinet, pada bulan Ogos 2010, Buku Belanjawan akan dicetak bagi persiapan untuk pembentangan Parliman yang akan dijalankan dalam jangkamasa Sep 2010 sehingga Dis 2010 nanti.
  7. Dalam pada itu, pihak Agensi akan sentiasa mengemaskinikan Perjanjian Program dari masa ke semasa ke pihak MOF sebelum Waran Am dikeluarkan.
  8. Pada bulan Nov 2010, satu semakan Perjanjian Program akan dilakukan secara bersama di antara MOF dengan pihak Agensi.
  9. Dan akhir sekali pada bulan Dis 2010, Waran Am akan dikeluarkan bagi Perlaksanaan Program Agensi.

Tidak terhenti di situ sahaja, sebagai Kementerian yang mengawalselia pengerakan kewangan Negara, MOF sentiasa memantau perjalanan Perjanjian Program dan setiap perkembangannya akan dilaporkan kepada Ketua Audit Negara.

Umumnya, begitulah kitaran penyediaan bajet tahunan Kementerian Kewangan dengan kerjasama semua pihak termasuk Agensi-agensi yang terlibat.

Kesimpulannya, penyediaan Bajet merupakan nadi pengerak kepada mencapai matlamat Negara untuk masyarakat. Penyata Kewangan ini merupakan satu landasan kejayaan dari masa ke semasa kerajaan untuk rakyat di Malaysia.

Sunday, April 19, 2009

HASIL-HASIL KERAJAAN PERSEKUTUAN

Soal Jawab Peperiksaan Kerajaan

  1. Hasil-hasil Persekutuan yang dikutip oleh Kerajaan terdiri daripada 4 kategori. Anda dikehendaki menyatakan 4 kategori hasil tersebut.
  2. Huraikan maksud 4 hasil berkenaan dan berikan 2 contoh bagi setiap satu kategori.

-----o0o-----

Kebanyakan hasil kerajaan adalah dalam bentuk Cukai, Yuran, Lesen, Permit dan Perkhidmatan yang digariskan oleh akta untuk rakyat.

Hasil-hasil Persekutuan oleh Kerajaan terdiri daripada :-

  1. Hasil Cukai
  2. Hasil Bukan Cukai
  3. Terimaan Bukan Hasil
  4. Hasil Wilayah Persekutuan

Maksud dan Contoh Hasil-hasil Persekutuan adalah :-

  1. Hasil Cukai

    Hasil Cukai bermaksud "Hasil yang dikutip berasaskan perundangan yang diluluskan oleh Parlimen." Hasil jenis ini juga dikenali sebagai satu bayaran wajib dikenakan ke atas satu urusniaga, pendapatan, perbelanjaan dan kekayaan.

    Hasil Cukai terbahagi kepadaa dua jenis iaitu Hasil dari CUKAI LANGSUNG (Cukai yang dikenakan secara langsung kepada pembayar, seperti Cukai Pendapatan) dan Hasil dari CUKAI TAK LANGSUNG (Cukai yang dikenakan secara tidak langsung ke atas pengguna seperti Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan)

  2. Hasil Bukan Cukai

    Hasil Bukan Cukai bermaksud "Hasil yang dikutip dari perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan untuk rakyat." Kadar-kadar Hasil ini ditentukan mengikut kelulusan Parlimen.

    Contoh Hasil jenis ini ialah, Permit, Sewaan, Lesen dan Bayaran Perkhidmatan.

  3. Terimaan Bukan Hasil

    Terimaan jenis ini boleh didefinisikan sebagai kutipan yang yang bukan berdasarkan akta ataupun perundangan, tetapi berpunca dari bayaran balik atau terimaan dari perkhidmatan.

    Contohnya; Bayaran Balik Gaji terlebih bayar seseorang kakitangan dan Bayaran Balik Penggunaan telefon pejabat oleh kakitangan.

  4. Hasil Wilayah Persekutuan

    Hasil ini adalah sama seperti pendapatan negeri-negeri bukan Wilayah Persekutuan. Contohnya; Cukai Tanah, Duti Hiburan dan Lesen serta Permit.

    Perbezaannya dengan negeri-negeri lain ialah, Wilayah Persekutuan adalah di bawah Kuasa Kerajaan Persekutuan, maka dengan ini kesemua hasilnya dimasukkan di bawah Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.

    Negeri-negeri yang terlibat adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Purtajaya.

Kesimpulanya, hasil kerajaan ini dikutip demi untuk memangkinkan pertumbuhan perbelanjaan Negara yang akan digunakan setelah dimasukkan di dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan.

Saturday, April 18, 2009

SISTEM BELANJAWAN UBAHSUAI (MODIFIED BUDGET SYSTEM-MBS)

Soalan Peperiksaan Kerajaan

Nyatakan Prinsip-prinsip asas yang digunakan dalam SISTEM BELANJAWAN UBAHSUAI, dan apakah matlamat yang hendak dicapai dalam perlaksanaan sistem ini?

-----o0o-----

Secara latarbelakangnya, Malaysia menggunakan Sistem Belanjawan Program dan Prestasi sejak 1969.

Namun, bermula tahun 1990, versi Sistem Belanjawan Program dan Prestasi telah diubahsuai dan dikenali sebagai Sistem Belanjawan Ubahsuai atau lebih dikenali sebagai "Modified Budget System" atau MBS.

4 Prinsip utama MBS adalah :-

  1. Batas Perbelanjaan

    Penjelasan prinsip ini ialah, ianya satu jumlah peruntukan wang yang telah ditetapkan di peringkat permulaan proses Belanjawan Tahunan sebagai peruntukan bagi sesuatu agensi untuk membiayai Dasar Sedia Ada bagi tahun-tahun berkenaan.

  2. Perjanjian Program dan Laporan Pengecualian

    Prinsip (Perjanjian Program) ini pula merupakan satu persetujuan di antara Agensi (Pengurus Program) dengan Perbendaharaan mengenai "input" yang akan digunakan, "output" dan impak yang hendak dicapai untuk setiap aktiviti bagi tahun belanjawan berkenaan.

    Prinsip Laporan Pengecualian pula merupakan Laporan untuk mejelaskan petunjuk kewangan atau bukan kewangan yang mana pencapaian "output" atau "input" nya terkeluar dari tahap varian yang dipersetujui dalam Perjanjian Program.

  3. Pusingan Penilaian Program

    Prinsip Ketiga ini ialah menekankan penilaian secara mendalam atas sesuatu aktiviti yang telah direncanakan. Faktanya, penilaian ini dijalankan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 5 tahun.

  4. Pendekatan lebih menyeluruh terhadap kawalan perbelanjaan.

    Prinsip terakhir ini menekankan betapa pentingya, pendekatan kawalan perbelanjaan berkaitan kesemua prinsip di atas. MBS dilihat sebagai pemangkin pergerakkan aliran kewangan Negara. Pemantauan secara kritis dijangka mampu menjadi impak kepada pengurusan belanjawan Negara.

Apakah matlamat yang hendak dicapai dalam perlaksanaan sistem ini?

Dengan perlaksanaan sistem ini, kepelbagaian matlamat dicita-citakan dapat dicapai bersama pengurusan kewangan Negara. Antaranya ialah :-

  1. Sebagai Penentu kepada pencapaian objektif Belanjawan Negara.
  2. Sebagai satu mekanisma penstrukturan Program dan Aktiviti supaya ia mampu dicapai bersama agensi dan perbendaharaan kepada matlamat pengurusan kewangan Negara.
  3. Ia juga sebagai kayu pengukur prestasi perbelanjaan dan belanjawan Negara.
  4. Sebagai Penilaian Sesuatu Program yang dilaksanakan serta garis panduan program mendatang.

Kesimpulannya, MBS merupakan satu sistem belanjawan yang lebih berbentuk "flexible" dan mampu mengalas amanah Negara dalam menjunjung kepercayaan rakyat Malaysia sejagat.

KUMPULAN WANG DISATUKAN

Soal Jawab Peperiksaan Kerajaan

Bentuk Soalan A.

  1. Menurut Perkara 104, Perlembagaan Persekutuan, apakah yang dimaksudkan dengan Kumpulan Wang Disatukan?
  2. Apakah 3 akaun yang diselenggarakan di bawah Kumpulan Wang Disatukan? Dan berikan 2 contoh bagi setiap satu akaun tersebut.

Bentuk Soalan B.

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan Kumpulan Wang Disatukan? Huraikan.

---------0O0---------

Secara Konsepsualnya, Kumpulan Wang Disatukan didefinisikan di bawah Perkara 97, Perlembagaan Persekutuan seperti berikut ;

"Segala hasil dan Wang yang didapatkan dan diterima oleh Persekutuan hendaklah dibayar masuk ke dalam satu Kumpulanwang iaitu KUMPULAN WANG DISATUKAN Kecuali Kutipan Wang Zakat, Fitrah, Baitulmal atau Hasil-hasil Agama Islam yang seumpamanya."

Asasnya, perkara ini disokong oleh Perkara 104, Perlembagaan Persekutuan yang jelas menekankan bahawa, segala perbelanjaan yang dikeluarkan daripada KUMPULAN WANG DISATUKAN mestilah peruntukan yang telah diluluskan oleh Parlimen.

KUMPULAN WANG DISATUKAN terdiri daripada 3 Komponen ;-

  1. Akaun Hasil Disatukan

    Akaun ini mengakaunkan Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan. Contohnya; Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Cukai

  2. Akaun Amanah Disatukan

    Akaun ini pula mengakaunkan Wang-wang Deposit dan Amanah Kerajaan. Contohnya; Deposit dan Amanah dan Terimaan Balik Pendahuluan atau Pinjaman.

  3. Akaun Pinjaman Disatukan

    Akhir sekali ialah Akaun Pinjaman Disatukan yang diwujudkan bertujuan untuk mengakaunkan pinjaman-pinjaman kerajaan yang melibatkan Pinjaman Luar Negara dan Pinjaman Dalam Negeri.

Kesimpulannya, KUMPULAN WANG DISATUKAN merupakan konsepsi asas perakaunan Negara di dalam pengurusan Hasil dan Perbelanjaan agar aturcara kewangan lebih tampak mapan dan kukuh berasaskan Perlembagaan persekutuan.