Tuesday, July 31, 2007

AKAUNTABILITI:KONSEP & TAKRIF DALAM PENGURUSAN KEWANGAN

Salah satu prinsip umum dalam pengurusan kewangan awam ialah 'Akauntabiliti'. 'Akauntabiliti' secara umumnya, bermaksud "menjalankan apa jua aktiviti yang diamanahkan yang ditentukan mahupun ditetapkan secara bertanggungjawab ke atas atau di atas segala kejayaan mahupun kegagalannya".

Konsep 'Akauntabiliti'

Kesyumulan Islam menggariskan konsep 'Akauntabiliti' berasaskan Surah An-Nisa':58, yang bermaksud,
"............. sesungguhnya Allah swt menyuruh kamu melaksanakan amanah terhadap orang-orang yang memberi amanah."
Konsep yang digariskan ini meskipun bersifat sejagat, namun jelas menggariskan 'Akauntabiliti' dalam pelbagai sudut dan aspek. Kesyumulan Islam meletakkan "Amanah" sebagai agenda utama pemangkin 'Akauntabiliti' individu yang dipertanggungjawabkan.

Dalam memperjelaskan lagi konsep 'Akauntabiliti', Aristotle (400 BC) menjelaskan bahawa,
"Some officials handle large sum of money: Therefore, It is necessary to have other officials to receive and examine the accounts. These inspectors must administer no funds themself. Different citis call them examiners, auditors, scrutineers, and public advocates."

Dalam mencapai matlamat yang mutlak sesebuah organisasi, Jabbra dan Dwivedi (1988) pula menjelaskan bahawa 'Akauntabiliti' adalah,

"Accountability is the fundamental pre-prequisite for preventing the abuse of delegated power and for ensuring instead that power is directed toward the achievement of broadly accepted national goals with the greatest possible degree of efficiency, effectiveness, probity and prudence."
Umumnya, 'Akauntabiliti' merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu yang bernama manusia. Dengan syiling dan tahap nilaian "efficiency, effectiveness, probity and prudence" akauntabiliti merupakan faktor pemangkin tindakan asas individu secara dalaman bagi menghalang serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa bagi mencapai matlamat utama sesebuah organisasi.

Definisi 'Akauntabiliti'

Melihat kepada kepelbagaian konsep 'Akauntabiliti' dirumuskan bahawa 'Akauntabiliti' merupakan kerbertanggungjawaban amanah kepada seseorang yang menerima amanah oleh seseorang yang telah memberikan amanah. Ia melibatkan satu pihak yang telah diperturunkan amanah dalam mencapai matlamat murni sesebuah organisasi. Ini bermaksud, jatuh bangunnya sesebuah organisasi itu, bergantung kepada kebertanggungjawaban atau 'Akauntabiliti' individu itu sendiri dalam mencapai matlamat organisasi.

Ini disokong oleh definisi Kamus Istilah Pentadbiran Perniagaan Pengajian Tinggi dan Kamus Dwi Bahasa (DBP) yang mendefinisikan 'Akauntabiliti' sebagai "Kepertanggungjawaban" dan "Bertanggungjawab kepada seseorang mengenai sesuatu".

Webster's New World Dictionary mendefinisikan 'Akauntabiliti' sebagai "Responsible, liable or explainable. Wajarannya ialah, 'Akauntabiliti' merupakan sesuatu tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang yang diberi amanah untuk menjalankan dan menjelaskan apakah impak dari kebertanggungjawabannya.

Begitu juga, The Chambers 20th Century Dictionary, yang mendefinisikan 'Akauntabiliti' sebagai "The Liable to Give Account for Something to Somebody."

Dengan jelas di sini bahawa, 'Akauntabiliti' merupakan satu faktor utama dalam mencapai matlamat sesebuah organisasi dalam mencapai visi dan misinya. Walau apa sekalipun definisi dan konsep yang ditekankan, 'Akauntabiliti' merupakan faktor segalanya bagi sesebuah organisasi sama ada awam mahupun swasta.

Syarat-Syarat Penting Sesuatu 'Akauntabiliti'

Pra-syarat dalam mencapai sesuatu 'Akauntabiliti' adalah
  1. Amalan Etika dan Nilai-nilai Murni (iaitu nilai teras dan nilai kembangan setiap individu itu sendiri).
  2. Sistem Tadbir Urus Organisasi yang baik (Good Governance).
  3. Mematuhi Undang-undang dan Peraturan.
  4. Menggunakan Pelbagai Sumber dengan cekap dan berkesan.
  5. Mewujudkan (Melalui) Perwakilan Kuasa, dan;
  6. Amanah Penerima Kuasa untuk melaporkan timpal-balik kepada pihak yang telah mewakilkan kuasa.
Objektif 'Akauntabiliti'

Objektif 'Akauntabiliti' adalah sebagai:-
  1. Suatu Alat Kawalan Kepada Sesebuah Organisasi dalam mencapai matlamatnya.
  2. Faktor Sistem Susunan Kerja yang Ideal.
  3. Suatu Jaminan Penggunaan Faktor Sumber (termasuk Sumber Manusia) yang teratur, lebih cekap dan mengelakkan Pembaziran walaupun pada tahap yang minima.
  4. Kayu pengukur agar Perbelanjaan Mengikut radiasi perundangan dan peraturan yang ditetapkan.
Kesimpulan

Petikan ucapan Mantan Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji perlulah direnungkan bersama,
"'Akauntabiliti' ialah Obligasi seseorang untuk memberi jawapan dan penjelasan mengenai tindakan dan prestasinya kepada pihak yang berhak untuk mendapatkan jawapan dan penjelasan tersebut...."

1 comment:

inntahla said...

Terima kasih atas penjelasan ini.