Tuesday, July 31, 2007

AKAUNTABILITI:KONSEP & TAKRIF DALAM PENGURUSAN KEWANGAN

Salah satu prinsip umum dalam pengurusan kewangan awam ialah 'Akauntabiliti'. 'Akauntabiliti' secara umumnya, bermaksud "menjalankan apa jua aktiviti yang diamanahkan yang ditentukan mahupun ditetapkan secara bertanggungjawab ke atas atau di atas segala kejayaan mahupun kegagalannya".

Konsep 'Akauntabiliti'

Kesyumulan Islam menggariskan konsep 'Akauntabiliti' berasaskan Surah An-Nisa':58, yang bermaksud,
"............. sesungguhnya Allah swt menyuruh kamu melaksanakan amanah terhadap orang-orang yang memberi amanah."
Konsep yang digariskan ini meskipun bersifat sejagat, namun jelas menggariskan 'Akauntabiliti' dalam pelbagai sudut dan aspek. Kesyumulan Islam meletakkan "Amanah" sebagai agenda utama pemangkin 'Akauntabiliti' individu yang dipertanggungjawabkan.

Dalam memperjelaskan lagi konsep 'Akauntabiliti', Aristotle (400 BC) menjelaskan bahawa,
"Some officials handle large sum of money: Therefore, It is necessary to have other officials to receive and examine the accounts. These inspectors must administer no funds themself. Different citis call them examiners, auditors, scrutineers, and public advocates."

Dalam mencapai matlamat yang mutlak sesebuah organisasi, Jabbra dan Dwivedi (1988) pula menjelaskan bahawa 'Akauntabiliti' adalah,

"Accountability is the fundamental pre-prequisite for preventing the abuse of delegated power and for ensuring instead that power is directed toward the achievement of broadly accepted national goals with the greatest possible degree of efficiency, effectiveness, probity and prudence."
Umumnya, 'Akauntabiliti' merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu yang bernama manusia. Dengan syiling dan tahap nilaian "efficiency, effectiveness, probity and prudence" akauntabiliti merupakan faktor pemangkin tindakan asas individu secara dalaman bagi menghalang serta mengelakkan penyalahgunaan kuasa bagi mencapai matlamat utama sesebuah organisasi.

Definisi 'Akauntabiliti'

Melihat kepada kepelbagaian konsep 'Akauntabiliti' dirumuskan bahawa 'Akauntabiliti' merupakan kerbertanggungjawaban amanah kepada seseorang yang menerima amanah oleh seseorang yang telah memberikan amanah. Ia melibatkan satu pihak yang telah diperturunkan amanah dalam mencapai matlamat murni sesebuah organisasi. Ini bermaksud, jatuh bangunnya sesebuah organisasi itu, bergantung kepada kebertanggungjawaban atau 'Akauntabiliti' individu itu sendiri dalam mencapai matlamat organisasi.

Ini disokong oleh definisi Kamus Istilah Pentadbiran Perniagaan Pengajian Tinggi dan Kamus Dwi Bahasa (DBP) yang mendefinisikan 'Akauntabiliti' sebagai "Kepertanggungjawaban" dan "Bertanggungjawab kepada seseorang mengenai sesuatu".

Webster's New World Dictionary mendefinisikan 'Akauntabiliti' sebagai "Responsible, liable or explainable. Wajarannya ialah, 'Akauntabiliti' merupakan sesuatu tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang yang diberi amanah untuk menjalankan dan menjelaskan apakah impak dari kebertanggungjawabannya.

Begitu juga, The Chambers 20th Century Dictionary, yang mendefinisikan 'Akauntabiliti' sebagai "The Liable to Give Account for Something to Somebody."

Dengan jelas di sini bahawa, 'Akauntabiliti' merupakan satu faktor utama dalam mencapai matlamat sesebuah organisasi dalam mencapai visi dan misinya. Walau apa sekalipun definisi dan konsep yang ditekankan, 'Akauntabiliti' merupakan faktor segalanya bagi sesebuah organisasi sama ada awam mahupun swasta.

Syarat-Syarat Penting Sesuatu 'Akauntabiliti'

Pra-syarat dalam mencapai sesuatu 'Akauntabiliti' adalah
  1. Amalan Etika dan Nilai-nilai Murni (iaitu nilai teras dan nilai kembangan setiap individu itu sendiri).
  2. Sistem Tadbir Urus Organisasi yang baik (Good Governance).
  3. Mematuhi Undang-undang dan Peraturan.
  4. Menggunakan Pelbagai Sumber dengan cekap dan berkesan.
  5. Mewujudkan (Melalui) Perwakilan Kuasa, dan;
  6. Amanah Penerima Kuasa untuk melaporkan timpal-balik kepada pihak yang telah mewakilkan kuasa.
Objektif 'Akauntabiliti'

Objektif 'Akauntabiliti' adalah sebagai:-
  1. Suatu Alat Kawalan Kepada Sesebuah Organisasi dalam mencapai matlamatnya.
  2. Faktor Sistem Susunan Kerja yang Ideal.
  3. Suatu Jaminan Penggunaan Faktor Sumber (termasuk Sumber Manusia) yang teratur, lebih cekap dan mengelakkan Pembaziran walaupun pada tahap yang minima.
  4. Kayu pengukur agar Perbelanjaan Mengikut radiasi perundangan dan peraturan yang ditetapkan.
Kesimpulan

Petikan ucapan Mantan Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ahmad Sarji perlulah direnungkan bersama,
"'Akauntabiliti' ialah Obligasi seseorang untuk memberi jawapan dan penjelasan mengenai tindakan dan prestasinya kepada pihak yang berhak untuk mendapatkan jawapan dan penjelasan tersebut...."

AKAUNTABILITI DARI SUDUT KEWANGAN, PENGURUSAN DAN PROGRAM

Saban hari dada akhbar menceritakan perihal akauntabiliti. Sana sini jualah minda pembaca membuat eksplorasi akauntabiliti dari pelbagai aspek. Ini termasuklah impak dari segala aspek yang mungkin telah, sedang dan akan berlaku.

Dalam mencanangkan akauntabiliti sebagai satu objektif ke arah mencapai matlamat organisasi, penjenisan akauntabiliti perlulah dipandang dari pelbagai sudut yang lebih lutsinar.

Dari segi sektor awam, akauntabiliti dijeniskan kepada 3 kategori. Antaranya:-
  • Akauntabiliti Kewangan,
Akauntabiliti Kewangan melibatkan :-
  1. Penyelenggaraan Rekod-rekod Kewangan dan Perakaunan
  2. Pematuhan kepada Perundangan dan Peraturan Kewangan yang Sedia ada dan akan datang.
  • Akauntabiliti Pengurusan, dan;
Akauntabiliti jenis ini melibatkan:-
  1. Pengurusan yang lebih Ekonomik dengan menumpukan "Value for Money" sebagai faktor utama.
  2. Menekankan faktor kecekapan kerja individu dan kumpulan dengan menjadikan "Ratio Input per Output" sebagai faktor ukuran.
  3. Melihat keberkesanan dan Impak sebagai ukuran nilai dan prestasi pengurusan.
  • Akauntabiliti Program.
Ramai orang menilai akauntabiliti hanya pada kewangan dan pengurusan semata. Namun sesuatu program juga memerlukan akauntabilitinya sendiri. Dalam menilai akauntabiliti program, penglibatan perkara berikut haruslah ditekankan. Antaranya ialah:-
  1. Penelitian Perjanjian Program yang dijalankan dan terlibat.
  2. Penilaian prestasi pada Anggaran dan Sebenar melalui varian program.
  3. Menjadikan penilaian (perkara 2) sebagai petunjuk-petunjuk prestasi (benchmark) kepada semua program yang akan dijalankan pada masa hadapan, termasuklah dari segi kos, sumber manusia dan jangka masa sebagai faktor penilaian.
  4. Menilai varian prestasi program secara lebih mendalam dalam melihat progress kerja dan program.

Wednesday, July 25, 2007

RASUAH - BARAH NEGARA YANG KIAN PARAH

Rasuah adalah penyakit atau kanser sosial yang semakin merebak, menular dan menjadi barah dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Sebagai virus berbahaya ianya telah menyusup ke mana sahaja dan menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

Menurut Dr. Mohammad Bin Abdul Rahman (2007), rasuah berlaku secara global dalam semua komuniti dan pelbagai arena kehidupan masyarakat. Hinggakan di Asia, amalan rasuah ini adalah dianggap sebagai lumrah dan tradisi kehidupan.

TAKRIFAN DAN PENGERTIAN

Takrifan Y.Ponnusamy dan Wong Khek Seng (2000), ‘suapan’ atau lebih dikenali sebagai ‘Rasuah’ boleh diertikan sebagai sebarang perbuatan yang dilakukan oleh mana-mana anggota masyarakat yang berpangkat atau tidak dan menggunakan kedudukan atau jawatannya untuk memperolehi faedah kewangan atau sebarang keuntungan lain yang tidak sah dari segi undang-undang dan peraturan negara.

Menurut Mohd Ali Abd. Hamid (2007), rasuah berasal dari perkataan Bahasa Arab iaitu“Al-Risywah” bermaksud memberi kepada seseorang.

Tambah Mohd Ali Abd. Hamid lagi, ‘Rasuah’ atau ‘Suapan’ dan 'Hadiah' terdapat batasannya. Beliau dalam ceramahnya, membezakan rasuah dan hadiah dengan dengan ungkapan berikut
“.....Hadiah sebagai rasuah jika diminta atau diterima dengan niat jenayah(mens
rea)”.
Ditegaskan juga bahawa “Apabila tujuan pemberian hadiah mengwujudkan pengharapan balasan daripada orang yang menerima hadiah, tindakan tersebut dikategorikan sebagai rasuah”.

Ini disokong oleh pendapat dan takrifan Dr. Mohammad Bin Abdul Rahman (2007), apabila mendefinisikan rasuah dari pandangan institusi iaitu “ Apabila pemberi sogok seseorang berjawatan dengan pemberian yang terlarang oleh undang-undang. Dalam mana ianya bertujuan mempengaruhi tindakan penerima untuk keuntungan peribadi di antara mereka”.

Dari perbincangan di atas, secara umumnya setiap pemberi rasuah atau suapan sama ada di sektor awam mahupun swasta adalah di atas keuntungan peribadi dan individu itu sendiri. Gelaran demi gelaran telah dilabelkan kepada rasuah termasuklah sebagai virus, duit kopi, jolok dan tangkal pengeras, namun rasuah tetap rasuah. Dan bahawasanya ia sungguh menjijikkan.

Dalam mengenali atmosfera 'Suapan', Y.Bhg Dato' Hj. Zakaria B. Hj. Jaafar, Timbalan Ketua Pengarah II Badan Pencegah Rasuah Malaysia (2007), dalam ceramahnya mendefinisikan 'Suapan' atau 'Rasuah' sebagai:-
  1. Wang, derma, barang, pinjaman, fee, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta iaitu mengenai apa-apa jua jenis harta, sama ada alih atau tidak alih, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain;
  2. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa pun jua sifatnya.
  3. Apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa jua sifat;
  4. Apa-apa jua bayaran, pelepasan penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain sama ada secara keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
  5. Apa-apa jenis balasan beharga, apa-apa diskaun, komisyen, rebat, bonus, potongan atau peratusan;
  6. Apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga;
  7. Apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, seperti perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatirii atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tata-tertib, sivil dan jenayah, termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajiban rasmi; dan
  8. Apa-apa tawaran, akujanji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberi suapan mengikut pengertian mana-mana peranggan (1) hingga (6) yang di atas.
CIRI-CIRI RASUAH

Melihat atmosfera di atas, diringkaskan bahawa ciri-ciri rasuah adalah:-
  1. Melibatkan dua pihak atau lebih - iaitu pemberi, penerima atau pengantara;
  2. Suka sama suka;
  3. Membawa keuntungan;
  4. Dipenuhi dengan kerahsiaan; dan,
  5. Melibatkan penyalahgunaan kuasa.
KESALAHAN RASUAH

Meminta/Menerima Rasuah
  • Mana-mana orang atau agen secara rasuah meminta/menerima/bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi atau urusniaga tertentu sama ada berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.
Menawar/Memberi Rasuah
  • Mana-mana orang atau agen secara rasuah meminta/menerima/bersetuju menerima suapan rasuah (wang/benda/perkhidmatan dan lain-lain) sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi atau urusniaga tertentu sama ada berkenaan dengan urusan rasmi, prinsipal/majikan berkenaan.
Membuat Tuntutan Palsu
  • Mana-mana orang memberi kepada agen atau agen memberi kepada prinsipal/majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butir-butir palsu, yang mana prinsipal/majikannya mempunyai kepentingan dengan tujuan untuk mengelirukan/memperdayakan prinsipal/majikannya.
Menyalah Guna Jawatan/Kedudukan
  • Mana-mana pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung.
RASUAH DARI SUDUT PERUNDANGAN

Perundangan Malaysia melihat Rasuah dari sudut:-
  1. Individu atau Kumpulan yang melanggar undang-undang yang telah dikuatkuasakan;
  2. Penyalahgunaan apa jua harta benda negara;
  3. Kegiatan yang merugikan negara; dan,
  4. Usaha pihak tertentu (individu ataupun kumpulan), dalam memperkayakan diri sendiri dan kaum kerabat.
KEKUATAN DAN PERUNTUKAN PERUNDANGAN DALAM MENANGANI RASUAH

Dalam menangani gejala rasuah, negara telah menyediakan serta menggariskan panduan sebagai rujukan dalam menangani barah yang kian menjadi parah kepada masyarakat negara ini. Niat murni kerajaan dilihat dengan peruntukan:-
  1. Akta Pencegahan Rasuah 1997.
  2. Ordinan No. 22 Darurat, 1970 berkaitan dengan rasuah.
  3. Akta Kastam 1967 (disemak 1980) berkaitan rasuah (167).
  4. Kanun Keseksaan (Akta 574)
  5. Akta Keselamatan Pilahan Raya berkaitan rasuah.
  6. Akta Pengubahan Wang Haram 2001, berkaitan rasuah.
PUNCA-PUNCA RASUAH

Umum mengetahui bahawa barah rasuah dan suapan mudah menular dalam kehidupan manusia dalam pelbagai cara. Walau bagaimanapun, punca segala amalan rasuah dan suapan adalah disebabkan oleh tiga faktor utama berikut:-

Penyalahgunaan Kuasa
  • Setiap penjawat awam, telah diperturunkan kuasa dalam menunaikan amanah tertentu. Walau bagaimanapun, melalui jawatan, amanah yang diperturunkan atau kedudukan, ianya sering disalah gunaertikan untuk mendapat suapan dalam membuat keputusan bagi diri sendiri, saudara-mara, rakan taulan, mahupun sekutu yang berkepentingan.
Kelemahan Kawalan
  • Diri Sendiri
  1. Kekuatan nafsu yang tidak dibendung dilihat mampu mencernakan kegiatan terkutuk ini. Dari faktor nafsu yang tidak dikawal individu mampu menggadaikan maruah diri, keluarga dan masyarakat dan seterusnya menuju kepada kehancuran.
  2. Di samping itu, kehidupan yang suka kepada kehidupan yang mewah dan tamak juga memangkinkan rasuah itu sendiri. Sikap ingin menunjuk-nunjuk juga menguatkan gejala ini. Akibatnya, individu sanggup menerima apa saja dalam mencapai kemewahan yang diinginkan.
  3. Sikap tidak ingin ketinggalan dan berlumba-lumba menjadi kaya dan mencari kekayaan juga menjadi faktor utama ke arah penyumbangan rasuah. Individu mahu kelihatan berada di kasta tertinggi bersama-sama dengan golongan yang sememangnya kaya.
  4. Ada individu yang suka berpoya-poya, berjudi dan berhutang. Kebanyakannya kaki judi yang akhirnya berhutang akan hanyut bersama arus rasuah. Apa tidaknya, dengan berjudi dan berhutang individu terpaksa dan sanggup menjual maruah diri. Sanggup menyalahkan kuasa demi masa depannya, yang tanpa disedari akan menghilangkan maruahnya.
  5. Hari ini, golongan individu yang memegang tampok sesebuah jabatan dan organisasi dilihat kurang mahir dalam pelbagai prosedur yang telah diwujudkan. Kekurangan ini juga mampu merosakkan individu untuk terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan rasuah. Di sinilah wujudnya, faktor kelalaian dan kealfaan individu dalam menjalankan tugasnya sebagai penjawat disesebuah organisasi.
  6. Dan, akhir sekali faktor individu menerima rasuah juga dilihat berpunca dari keimanan dan nilai-nilai murni yang tipis pada diri yang telah diberi kuasa (sama ada penerima ataupun pemberi).
  • Organisasi
Organisasi penuh dengan birokrasi. Dari birokrasi wujudnya pelbagai kelemahan yang tidak boleh tidak memangkinkan rasuah sebagai agenda virus merosakkan bangsa dan negara. Menyebut kelemahan, kawalan merupakan satu perkara pokok yang perlu ditangani sebagai pra-langkah menangani rasuah. Hari ini kelemahan kawalan dari sudut organisasi ialah:-
  1. Penurunan kuasa yang diperturunkan dan diamanahkan tanpa kawalan serta pertimbangan dan budi bicara tidak wajar dalam penurunan tersebut. Penurunan tanpa had dan juridiksi yang khusus serta justifikasi menyebabkan tanpa sedar penyelewengan kuasa terbina. Di sinilah pentingnya kawal selia kuasa yang diperturunkan oleh golongan yang dikenali sebagai sipemberi kuasa (seperti Ketua Jabatan).
  2. Ramai orang menganggap, bila soalan kuiri diajukan oleh seseorang kakitangan yang menjalankan amanah sebagai tidak efisyen. Tidak pro-aktif, menentang arus dan banyak lagi. Namun, golongan pengkritik ini, seolah-olah pra matang dalam membuat judgemintasinya sendiri. Disinilah penunai amanah membuktikan ketelusan. Pengkuiri akan melihat sejauh mana si kena kuiri telus dalam menjalankan amanah mengikut polisi, peraturan, perundangan mahupun prosedur sesebuah organisasi. Tanpa ketelusan maka wujudlah barah rasuah yang sebenarnya menghancurkan pengamal itu sendiri.
  3. Hari ini wujudlah pergerakan pemantauan yang dinanti-nantikan oleh semua golongan tertindas akibat penyalahgunaan kuasa. Kalau dahulu kekurangan pemantauan menjadi faktor rasuah, namun kini pemantauan yang agak lemah dan berkurangan juga menjadi faktor rasuah oleh golongan penjenayah terancang ini. Perlu diingatkan, pengamal bukannya dari golongan kampung yang dulu dikuasi oleh Pak Pandir dan Pak Kadok sahaja. Namun, mereka terdiri dari individu yang bergelaran yang mampu menjual nama Pak Kadok mahupun Pak Pandir.
  4. Kelemahan pemimpin juga di lihat sebagai faktor puncanya rasuah. Pemimpin di sini tidak melihat pada ruang lingkup negara, tetapi juga ruang lingkup mikro yang jelas terkapai-kapai mencari arah. Cuba kita lihat, dari pandangan makro, golongan atasan dan tertinggi akan mengarahkan sesuatu tugasan sama ada ia mengikut prosedur ataupun tidak. Apakah gunanya golongan tertentu yang sepatutnya menasihatkan cara terbaik perlaksanaan tersebut. Contohnya, pengarah, akauntan, penolong akauntan dan penolong pengarah.
  5. Akhir sekali faktor kelemahan penguatkuasaan undang-undang rausah itu sendiri. Tidak terlalu kritikal sekiranya, penegak undang-undang juga seolah-olah cari makan untuk menangani isu rasuah yang ada.
Kewujudan Peluang
  • Dalam hidup yang semakin moden, di bawah arus modenisasi kepesatan pembangunan sosioekonomi dikategorikan terlalu mencabar. Dari tekanan kehidupan, dilihat kepesatan pembangunan dan modenisasi ini mewujudkan peluang kepada bercambahnya nafsu serakah individu dan berkmpulan untuk melakukan rasuah. Antaranya, ingin mendapatkan kemewahan dalam jangka yang singkat demi untuk diri dan keluarga.
  • Budaya dan tradisi hari ini juga menjadi faktor pemangkin kepada gejala rasuah ini. Dari sudut budaya dan tradisi, dilihat penghalalan cara memangkin rasuah yang secara halusnya meresap ke jiwa individu dan kumpulan. Contohnya, pemberian hadiah harijadi, perkahwinan, keraian dan banyak lagi. Kekuatan faktor ini lebih kepada pemberi dengan 'nawaitu' supaya penerima mengingat jasa dan pemberian.
  • Di samping itu, kewujudan peluang rasuah juga berpunca dari kelemahan sistem, prosedur dan kepimpinan sesebuah organisasi itu sendiri. Rasuah sukar dikesan bila pelaku (penerima/pemberi) merancang sesuatu bentuk kegiatan penyalahgunaan undang-undang dan peraturan. Sesebuah organisasi tidak mempunyai satu sistem 'alert' yang mampu menggera pihak berkuasa dalam penyalahgunaan yang telah dilakukan. Kepimpinan yang lemah juga dilihat sebagai peluang keemasan yang ada dalam menjayakan rasuah.
MASALAH MENANGANI JENAYAH RASUAH

Semua golongan bencikan rasuah, termasuklah sebenarnya pengamal yang telah, akan dan kini baru terjebak dengan budaya rasuah itu sendiri. Walau bagaimanapun, menangani rasuah bukanlah mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi sekiranya telah terjebak dengan jenayahnya. Itulah jenayah yang bernama rasuah.

Masalah utama dalam menangani jenayah rasuah ialah:-
  • Rasuah Dianggap Pelanggaran Etika Sosial Sahaja
  • Fahaman Materialistik Yang Semakin Menebal
  • Pegangan Agama dan Penghayatan Nilai Yang Longgar
  • Penguasaan Undang-undang yang Terbatas
  • Ikatan Sosial yang Rapuh

SIMPTOM-SIMPTOM RASUAH

Awalnya setiap penyakit boleh dilihat dengan petanda-petanda dan simptom tertentu. Begitulah juga rasuah, yang boleh dikenali dengan simptom-simptom berikut:-
  • Individu yang sukakan gaya hidup mewah
  • Individu yang gagal menjelaskan punca perolehan
  • Hubungan yang sangat akrab dengan pelanggan
  • Suka berahsia mengenai segala tindakan
  • Kerap berurusan di luar tanpa sebab yang munasabah
  • Penglibatan yang luar biasa dengan unit-unit lain yang tidak berkaitan dengan bidang tugas.
  • Pembekal / kontraktor enggan berurusan dengan pegawai lain selain dari seseorang individu khusus.
  • Suka bekerja secara berseorangan
KESAN-KESAN RASUAH

Seperti biasa setiap penyakit membawa kesan dalam pelbagai kehidupan individu. Begitulah juga rasuah, yang jelas membawa kesan kepada pelbagai sektor kehidupan sama ada individu mahupun masyarakat. Antaranya ialah:-
  • Menyebabkan Tambahan Kos Tidak Produktif
  • Mengadaikan Nyawa dan Secara Tidak Langsung Menggugat Keselamatan Negara
  • Melindungi Penjenayah Negara
  • Memusnahkan Budaya Kerja dan Nilai-Nilai Etika Kerja
  • Menjejaskan Maruah dan Imej Negara
  • Menjual Maruah Diri, Keluarga dan Negara
  • Menjadi Faktor Kepincangan Ekonomi Negara (Pengaliran Keluar Modal Negara).

KESIMPULAN

Kesimpulannya, rasuah dan suapan merupakan barah yang kronik dalam diri manusia hasil dari virus kehidupan peribadi. Meskipun tiada definasi khusus tentang rasuah, umum bersetuju bahawa ia adalah satu amalan menjijikan dan mampu memunah-ranahkan masyarakat. Penyelesaian gejala ini haruslah bermula dari individu itu sendiri.

Sunday, July 15, 2007

DASAR-DASAR UTAMA KERAJAAN

Malaysia yang pesat membangun digahkan dengan dasar-dasar utama yang terdiri dari:-
  1. Dasar-dasar Pembangunan Negara
  2. Dasar-dasar Sosial dan Etika Kerja
  3. Dasar-dasar Luar Malaysia
Ketiga-tiga dasar ini membentuk kekuatan negara dalam mencapai kegemilangannya. Ketiga-tiga dasar inilah yang memacu negara ke persada dunia yang semakin hari semakin tinggi. Dasar-dasar ini juga yang boleh menjadi batu tanda bahawa 'Malaysia Boleh' dan mampu terbang tinggi bersama sang rajawali dunia.

Bayangkan, negara ini sekiranya tanpa dasar, tanpa asas ke mercu kejayaannya. Dimana letaknya Malaysia hari ini.

Dari Perdana Menteri Pertama hingga Ke-5, Malaysia mampu membuktikannya.

DASAR-DASAR PEMBANGUNAN NEGARA

Pengenalan
--------------
Dasar-dasar Pembangunan Negara bermatlamat ingin menjadikan Malaysia sebuah negara makmur dan bersatu-padu berasaskan sistem demokrasi di dalam suasana pembangunan yang aman dan stabil.

Dasar-dasar ini juga menunjukkan ketrampilan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Dalam mencapai matlamat sebuah negara maju, Malaysia perlu merancang dan melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang sesuai. Ini bagi menjamin potensi pembangunan yang tinggi negara, dan secara langsung menjadi faktor pemangkin kepada masa depan negara.

Dasar Ekonomi Baru
------------------------
Dasar yang menjadi mercu tanda kejayaan negara ialah Dasar Ekonomi Baru atau lebih dikenali sebagai DEB. Dasar DEB ini melibatkan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat antara kaum di Malaysia yang wujud semasa penjajahan British. Ia merupakan satu formulasi yang dilancarkan oleh kerajaan pada tahun 1970.

Umumnya, DEB diwujudkan selepas peristiwa hitam negara pada tarikh 13 Mei 1969. Tahun inilah wujudnya ketidakstabilan sosio-ekonomi sesama kaum di negara ini yang bakal memunah-ranahkan impian kemerdekaan, jika ianya tidak diimbangi. Tahun ini jugalah, yang mampu menunjukkan betapa rapuhnya negara yang berjaya dibebaskan oleh masyarakat berbilang kaum dan bangsa dari Malayan Union ciptaan keparat penjajah. Bagaikan satu ledakan bom nuklear Malaysia boleh musnah tanpa apa-apa jua.

DEB diwujudkan untuk tempoh 20 tahun, atas tujuan untuk mencapai perpaduan rakyat dan negara berbilang kaum ini. DEB dirangka dan dilaksanakan bagi merapatkan lompang-lompang kemiskinan kaum, dan melaku serta melaksanakan pengagihan kekayan secara seimbang.

Dalam mencapai matlamat ini pelbagai strategi diusahakan, termasuklah 'Strategi Serampang Dua Mata' yang melibatkan pembasmian dan pengurangan kadar kemiskinan diimbangi dengan perpaduan negara. Disamping itu, DEB telah merencanakan penerokaan tanah-tanah baru, seperti tanah-tanah FELDA, RISDA, FELCRA, MADA, KADA dan MAJUIKAN bersama peningkatan taraf kemudahan sosial dan infra-sturktur yang lebih moden seperti penyediaan jalan-jalan raya, bekalan air dan tenaga yang lebih teratur.

Selain daripada itu, DEB juga merancang dan melaksanakan s
trategi memperluaskan peluang-peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor bukan hanya penumpuan di bidang pertanian.

Impaknya, DEB telah mencapai beberapa perkara berikut, dalam membuktikan ketrampilan negara mencapai dasarnya. Pencapaian yang membanggakan dari DEB ialah:-
  • Penurunan Kadar Kemiskinan Negara
  • Pengurangan Jurang dan Lompang Perbezaan Ekonomi antara Kaum di negara ini.
  • Penyusunan semula masyarakat negara (bertujuan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dan kawasan), dan;
  • Pembangunan wilayah mengikut perancangan yang lebih teratur. Contohnya, Pantai Timur dan Pantai Barat, serta Malaysia Timur dan Malaysia Barat.
Umumnya, pembangunan dasar DEB mencapai matlamat jangka panjang yang dirancang.

------o0o------

Dasar Pembangunan Nasional
------------------------------------
Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) dan DEB berakhir pada tahun 1990. Dalam tempoh 20 tahun tersebut negara telah mengalami kepesatan pembangunan walaupun mencapai pelbagai rintangan dan halangan. Rentetan dari itu, pada 17 Jun 1991, kerajaan telah melancarkan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ke-2 (RRJP2) meliputi perancangan selama 10 tahun (dari tahun 1991 ~ 2000). Penggubalan RRJP2 berasaskan Dasar Pembangunan Nasional (DPN).

Perancangan ini adalah titik permulaan ke arah membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Matlamat DPN adalah perpaduan negara. Ianya merupakan impak positif DEB yang telah dirancang sebelumnya oleh kerajaan dalam menangani isu perpaduan rakyat dan negara.

Aspek-aspek yang ditekankan di dalam DPN ialah:-
  • Keadilan Sosial
  • Ketabilan Ekonomi dan Politik
  • Kualiti Hidup
  • Kecekapan dan Kecemerlangan Pentadbiran Kerajaan
Dalam mencapai matlamat DPN, iaitu pembangunan seimbang di dalam segala segi, digariskan perkara berikut sebagai panduan. Antaranya ialah:-
  • Pengagihan Kekayaan negara secara Adil dan Saksama
  • Pembangunan masyarakat yang seimbang dari segi Mental dan Fizikal
  • Pembentukan Nilai Moral dan Etika yang tinggi masyarakat Malaysia
  • Pengurusan sumber semulajadi yang lebih cermat, dan
  • Pemeliharaan ekologi sistem negara.
Bagi menentu dan memantau kejayaan, DPN telah melaksanakan beberapa program penting buat negara. 3 program penting yang direncanakan ialah:-
  • Hasil Pencapaian Yang Berkualiti dan Berkekalan (Penekanan kepada aspek-aspek Latihan dan Pendidikan)
  • Persaingan Dalam pasaran Antarabangsa/Global (Peningkatan daya tarikan pelabur dan usahawan asing untuk melabur di Malaysia)
  • Wawasan 2020 (Pengembelingan semua entik dalam mencapai matlamat negara maju pada tahun 2020)
Disamping 3 program di atas, DPN juga menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor Pembuatan dan Perkhidmatan dengan penumpuan penuh kepada Industri Kecil dan Sedarhana (IKS).

Selain daripada itu agensi-agensi amanah dan perbadanan awam telah dipertanggungjawabkan dalam menjana ekonomi kaum bumiputera negara.

Kesannya, sudah terkenampakan akan kilauan yang membentuk negara maju 2020 yang dicanangkan oleh PM ke 4-Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun). Tinggal hanya kita sebagai masyarakat negara, menjayakannya. Semoga berjaya bangsaku. Amiin Ya Rabil Ala'min

------o0o------

Wawasan 2020
-----------------
Wawasan 2020 dicetuskan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia Ke-4-Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) sewaktu Pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991. Ia dibentangkan melalui sebuah kertaskerja beliau yang bertajuk 'Malaysia-Melangkah Ke Hadapan" yang bertujuan mengemukakan pandangan masa depan negara dalam usaha menjadi negara maju menjelang tahun 2020 dengan acuannya negara sendiri.

Dirancangkan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka secara hakikinya, akan benar-benar maju, bersama rakyat yang bersatu, mampu berdiri dan berdikari sendiri, progresif dan makmur.

Dicadangkan juga Malaysia akan maju dalam segala aspek, terutamanya dalam aspek :-
  • Ekonomi
  • Politik
  • Sosial
  • Kerohanian
  • Kejiwaan, dan
  • Kebudayaan.
Negara yang masih dalam perjalanan yang jauh digariskan dengan 9 cabaran untuk mencapai wawasannya.
  1. Mewujudkan negara Malaysia yang BERSATU.
  2. Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dan berkeyakinan sendiri.
  3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik dan matang.
  4. Mewujudkan masyarakat yang penuh bermoral dan beretika.
  5. Mewujudkan masyarakat yang liberal dan bertolak ansur.
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif.
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi.
  8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.
  9. Mewujudkan masyarakat makmur dalam segala segi.
Begitulah 9 cabaran wawasan negara menjelang tahun 2020. Walau bagaimanapun, isu utama Wawasan 2020 negara ini ialah pada :-
  • Pembentukan satu negara bangsa Malaysia.
  • Negara Perindustrian.
  • Keadilan Ekonomi dan Sosial
  • Moral dan Etika masyarakat.
  • Pembangunan Masyarakat berasaskan Sistem Kekeluargaan.
Walau apapun yang negara canangkan, perjalanan bangsa Malaysia masih jauh lagi. 9 Cabaran merupakan cabaran kenegaraan yang mesti tidak disalah-ertikan. Bahasanya mudah, tinggal kita sebagai bangsa Malaysia menentukannya.


------o0o------


Dasar Perindustrian Negara
---------------------------------
Dasar Perindustrian Negara Pertama (DPiN-1) diwujudkan bermatlamatkan untuk mempelbagaikan ekonomi negara yang sebelumnya banyak bergantung dengan pengeluaran getah dan bijih timah secara sejarahnya. Tahun 1970-an, merupakan tahun khusus bagi negara dalam menumpukan pertumbuhan perindustrian.

Pelan Induk Perindustrian (PIP) pada tahun 1986-1995 bertujuan:-
  • Menjadikan sektor perkilangan sebagai pemangkin pertumbuhan perindustrian negara.
  • Menggalakkan penggunaan sumber asli negara secara optima.
  • Meninggikan Research & Development teknologi tempatan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian.
Dasar Perindustrian Negara Kedua (DPiN-2), berasaskan kepada PIP ke-2. Ia dilancarkan pada Nov 1996. DPiN-2 meliputi tempoh 10 tahun bermula pada tahun 1996 sehingga 2005.

Secara umumnya, PIP ke-2 merupakan susulan daripada PIP.

Objektif DPiN-1 dan DPiN-2 adalah menukarkan sektor pembuatan negara supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan kompetatif secara global.

------o0o------

Dasar Pertanian Negara
----------------------------

------o0o------

Dasar Persyarikatan Malaysia
-----------------------------------

------o0o------

Dasar Penswastaan
-----------------------
Dasar ini diperkenalkan pada tahun 1983 oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4.

Secara umumnya, dasar ini bermatlamat untuk memindahkan tanggungjawab dan penyertaan kerajaan dalam sektor ekonomi kepada sektor swasta.


Dasar ini bertujuan untuk:-
  • Mengurangkan beban kerajaan.
  • Meninggikan kecekapan dan penghasilan kerja.
  • Menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
  • Pengagihan Sumber secara cekap.
  • Mempercepatkan pencapaian hasrat DEB. Contohnya; program pengswastaan: PLUS, LTAT, LUTH,PNB dan sistem pengangkutan negara seperti LRT.
------o0o------

DASAR-DASAR SOSIAL DAN ETIKA KERJA

Saturday, July 14, 2007

DASAR-DASAR LUAR MALAYSIA

====================================
Malaysia yang gah dengan selogannya "MALAYSIA BOLEH", tidak ketinggalan dalam memacu kehadapan dengan dasar-dasar luarnya.

Terdapat 2 dasar luar utama yang mempopularkan Malaysia di mata global. Dasar-dasar itu ialah:-
  1. Konsep Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN)
  2. Dasar Antartika
Dasar / Konsep Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN)
-----------------------------------------------------------------------------------------
Ia diperkenalkan oleh Perdana Menteri Ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Konsep ini diumumkan melalui Deklarasi Kuala Lumpur pada 27hb. November, 1971.

Konsep ini juga dikenali sebagai "Zone Of Peace, Freedom And Neutrality" atau ZOPFAN.

Objektif pengenalan ZOPFAN adalah
  • menjadikan Asia Tenggara satu kawasan atau gagasan yang aman, bebas dan berkecuali daripada pertelingkahan politik kuasa-kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat, Rusia (pada ketika itu) dan Republik Rakyat China.
Dalam mencapai matlamat ini strategi perlaksanaan negara adalah seperti berikut:-
  • Mendapatkan persetujuan, pengikhtirafan dan jaminan kuasa-kuasa besar tentang objektif atau usaha ZOPFAN
  • Mengundurkan tentera asing dari kawasan Asia Tenggara dalam jangka panjang
  • Menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai kawasan yang bebas daripada senjata nuklear.
---------o0o---------
Dasar Antartika
-------------------
Bapa Permodenan Malaysia
telah mempopularkan Dasar Antartika. Mantan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun), menimbulkan Isu Antartika ini ketika berucap di sesi Ke 37 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada bulan September 1982.

Mantan PM, menyatakan bahawa "Benua Antartika hendaklah dijadikan warisan bersama untuk faedah bersama (common heritage for the common benefit) bagi seluruh dunia".

Objektif dasar ini ialah:-
  • Bahan-bahan mentah Antartika digunakan untuk faedah manusia sejagat.
  • Ekologi dan Alam sekitar bumi Antartika wajiblah dipertahankan.
  • Kerja sama dan Penyelarasan antarabangsa dalam kajian saintifik dan lain-lain di Antartika.
  • Antartika perlulah digunakan untuk menggalakkan 'disarmament', 'denuclearisation' dan 'demilitarization'.
---------o0o---------

Friday, July 13, 2007

KONTRAK SOSIAL & JOS SOLI

Faiza Zainudin dan Mohd Anwar Patho Rohman, di dalam Akhbar Berita Harian bertarikh 9 Jul 2007 menulis :-

".............. Timbalan Perdana Menteri, berkata, Dr Koh harus sedar dan melaksanakan tanggungjawab itu kerana ia adalah kontrak sosial yang diterima Umno ..................."

Sebenarnya, bukan hanya Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sahaja yang perlu sedar tentang erti Kontrak Sosial yang dinyatakan oleh YB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Rajak. Tetapi seluruh rakyat Malaysia di mana jua mereka berada.

Apa tidaknya, dengan Kontrak Sosial inilah rakyat Malaysia mampu mencapai erti kemerdekaan. Dengan Kontrak Sosial anak cucu cicit kita mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa lain dan asing di dunia.

Persoalannya....... ialah "Apa itu Kontrak Sosial yang hari ini diterima pakai oleh rakyat Malaysia?"

Kontrak Sosial
dan Prinsip Jus Soli tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan warga Malaysia hari ini. Dari kontrak dan prinsip inilah kemerdekaan dapat dipertahankan.

Mengimbau kembali tarikh 28hb Jun 2007, Ulu Kenas, Kuala Kangsar Perak. Disinilah saya mengenali dan mengetahui bahawa bangsaku yang merdeka tidak mengenal erti kemerdekaan. Tidak mengenal erti perpaduan sebenar. Mungkin penjelasanku membantu fasi mampu memperjelaskan erti kemerdekaan buat bangsaku yang kian lupa (Kerana 'Melayu Mudah Lupa')

Kontrak Sosial keagungan negara ialah :-

" Penerimaan Kerakyatan bukan Melayu atau bukan Pribumi di negara ini, berasaskan kelahiran (semasa penubuhan Malaysia dan Kemerdekaan) oleh bangsa Melayu dan Pribumi Malaysia, dengan syarat
bukan Melayu atau bukan Pribumi menerima secara terbuka Hak-hak Istimewa Orang-Orang Melayu, keistimewaan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi, dan Islam sebagai Agama Rasmi Negara."

Tidak ada gunanya, pelbagai pihak membangkitkan isu sensitif yang memperbodohkan bangsa. Tidak ada gunanya kita, melaungkan kemerdekaan sekiranya, merdeka tiada ditempatnya. Buat bangsaku yang berdaulat, jagalah erti kontrak sosial negara. Tatanglah ia supaya Bapa Kemerdekaan tidak menangis meratapi bangsa, supaya Bapa Pembangunan senyum, supaya Bapa Perpaduan gembira dan supaya Bapa Permodenan bangga sentiasa. Tanpanya, siapa anda di negara ini, tanpanya apa erti kemerdekaan ini. Tanpanya, kita tidak mampu memandu serta memacu Merz, Ferrari, Proton dan Produa.

Sedarlah, bahawa perpaduan dan pertimbangan bangsa merdeka berlandaskan kontrak sosial negara. Buat yang mempertikaikannya, sedarlah bahawa tanpa perjanjian ini anda sudah tiada di sini, entah menjadi abdi di negara Eropah atau Afrika sana.

Wassalam buat Bangsa Merdeka. Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-50. Perjuangan Belum Selesai Bangsaku, Jangan Kita Mudah Lupa.